like button

Monday, February 20, 2012

KRU masih kekurangan pakar animasi



Syarikat penerbitan dan pengedaran filem, KRU Studios boleh dikatakan mempunyai nama yang besar dalam industri perfileman tanah air. Mereka cuba menghasilkan filem-filem yang berkualiti dari kepelbagaian genre seperti seram, epik, romantik komedi dan juga animasi dengan teknologi sedia ada untuk tatapan peminat filem. Malah mereka turut membawa filem mereka ke peringkat antarabangsa seperti "Hikayat Merong Mahawangsa".
Walaubagaimanapun jelas Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, mereka masih lagi kekurangan tenaga pakar dalam bidang animasi.
"Kami masih lagi kekurangan tenaga yang mahir dalam bidang animasi. Malah masa yang diperuntukkan untuk sesebuah filem tidak begitu panjang. Oleh yang demikian, kami merancang untuk mengambil lebih banyak pakar dari luar negara bagi membantu produksi kami," ujar Norman ketika ditemui di malam gala filem terbaru terbitan KRU Studios, "Cinta Kura-Kura" di Cathay Cineplex Damansara baru-baru ini.
Mengakui teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) pada permulaan filem arahan Nizam Zakaria itu kurang memuaskan dan masih perlu diperkemaskan, Norman tetap merasakan ia adalah yang terbaik untuk dipertontonkan buat masa sekarang.
"Saya akui kesuntukan masa dan kekurangan pakar animasi menyebabkan ia kelihatan tidak kemas. Namun pada saya, apa yang ditayangkan kepada umum merupakan yang terbaik setakat ini. Jika orang ramai ingin membandingkan filem ini dengan apa yang sedia ada, ia adalah terpulang kepada hak masing-masing," jelasnya lagi.
Ditanya mengapa elemen kura-kura yang diketengahkan dalam filem romantik komedi ini, Norman berkata ia diambil daripada kisah dongeng yang sudah biasa didengari iaitu kehebatan kura-kura dalam perlumbaan dengan arnab.
"Kami mengambil kebijaksanaan kura-kura yang menang hanya kerana menggunakan akalnya untuk menandingi sang arnab dalam perlumbaan tersebut. Begitu jugalah yang ingin kami tampilkan dalam filem "Cinta Kura-Kura"," kata Norman.
Filem lakonan Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel, Zizan Razak, Fara Fauzana, Usop Wilcha atau Shy8, Fizz Fairuz dan Bob Yusof ini bakal menemui peminat di layar perak pada 1 Mac 2012.

Source: cinema online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...